"Kita lahir dengan otak di dalam tengkorak kepala kita. Sehingga tidak peduli semiskin mana pun kita, kita tetap kaya. Kerana tidak akan ada seorang pun yang dapat mencuri otak kita, fikiran kita dan idea kita. Dan apa yang anda fikirkan dalam otak anda jauh lebih berharga daripada emas dan perhiasan."

Wednesday 17 December 2014

ISLAM MENENTANG PEMIKIRAN KONSERVATIF

Pada wahyu yang pertama di turunkan kepada nabi Muhammad, perkara yang terawal di sampaikan kepada nabi Muhammad adalah membaca, mengkaji, dan mengetahui. Kerana di saat itu jenis perhambaan yang dipikul oleh masyarakat Arab jahilliyah adalah tidak tahu membaca, membenci ilmu, terlampau taksub dengan suku kaum atau rasis (ketuanan suku kaum majoriti agaknya), dan mempercayai tahyul dongeng dengan membabi buta. Dan salah satu faktor kebenaran turunnya Islam di muka bumi ini hanyalah untuk membebaskan manusia dari perkara tahyul, membawa para pendukung Islam untuk tidak menerima segala sesuatu itu secara bulat-bulat dan membabi buta. Islam itu adalah sebuah teologi yang membawa manusia kepada kebebasan untuk berfikir, malah menggalakkan manusia untuk memenangkan akal dalam mempercayai perkara-perkara yang kebenarannya masih di awang-awangan.  Memetik kata Asghar Ali di dalam bukunyaIslam dan Teologi Pembebasan, dia berkata

teologi pembebasan tidak hanya mengakui satu konsep metafisika tentang takdir dalam rentang sejarah umat Islam, namun juga mengakui konsep bahawa manusia itu bebas menentukan nasibnya sendiri. Sebenarnya, teologi pembebasan ini mendorong pengembangan praksis Islam sebagai hasil tawar menawar antara kebebasan manusia dan takdir; teologi pembebasan menganggapnya sebagai pelengkap, daripada sebagai konsep berlawanan.

Tetapi sekarang penggalakan berfikir dalam Islam sudah kian pudar dan hilang akibat serangan dari segelintir agamawan yang lebih suka mengkaji al-Quran untuk menghukumi, menakut-nakutkan dan menyesatkan sesetengah orang yang lebih suka memilih untuk melawan dan menggunakan akal mereka dari mencucuk buntut agamawan sejenis ini. Penggunaan akal ini juga telah di matikan dan di bunuh dengan kejam melalui adat turun temurun di mana manusia itu tidak boleh menggunakan akal atas alasan akal itu akan menyesatkan, di tambahkan pula dengan kepercayaan jika berterusan menuntut ilmu dengan mendalam itu akan mampu untuk menjadi gila. Dan daripada idea purba seperti inilah yang telah melembabkan pemikiran Islam dan telah mencacatkan atau membantutkan pemikiran para pendukung Islam yang baru. Akibatnya, semakin bertambahlah buku-buku yang hanya menceritakan tentang dosa pahala, bagaimana keadaan syurga neraka, kejadian-kejadian di kubur, hukum-hakam dan batas-batas bersuami isteri, bagaimana kedudukan solat yang betul, atau buku-buku yang hanya menceritakan keburukan mazhab-mazhab lain. Dan akhirnya, buku-buku seperti ini akan semakin bertambah berlambak dan bertimbun-timbun dan akhirnya buku-buku ini mungkin akan menjadi sampah dan fungsinya hanya untuk membalut nasi lemak dek kerana masyarakat sudah malas membaca, kerana bahan bacaan hanya melalui satu asa yang mendatar. Maksud aku, bukan tidak perlu buku-buku seperti ini, tetapi buku-buku seperti ini sudah terlampau banyak. Di mana pengeluaran buku-buku intelektual di dalam Islam semakin kurang dan lambat pengeluarannya berbanding buku-buku Islam yang agak metafisis dan semakin  banyak pula bahan-bahan yang kritis telah di haramkan atas alasan bercanggah dengan tuntutan agama atau berselisih dengan al-Quran. Ini bermakna, sikap mengkaji dalam penganut Islam semakin pudar. Menyebabkan yang dahulunya sikap membaca dan mengkaji buku itu dilihat sebagai sikap yang cool, namun kini telah menjadi satu sikap yang dianggap nerd atau membosankan. Dan juga telah menyebabkan fungsi agama hanya untuk selepas mati berleluasa di kalangan masyarakat Islam Malaysia.

Apa yang kita perlukan dalam Islam kini, adalah intelektualisme yang membawa kepentingan Islam itu di dalam sosial, buku-buku, penulis, pengkarya filem, pelukis, dan pemusik tempatan yang mengangkat Islam ke mata dunia sebagai teologi yang menentang kezaliman, penindasan, kasta bangsa, lalu juga mengangkat Islam sebagai teologi yang mementingkan akal, penggalakan berfikir, kepentingan untuk mengaji. Mengangkat Islam sebagai dasar dalam membangunkan masyarakat. Islam itu sebagai platform untuk anak-anak muda bersuara, berilmiah. Dan mengangkat Islam bukan sahaja hanya sebagai teologi pembebasan berfikir, tetapi juga ideologi yang mampu menggugat segala fahaman yang ada, bukan dengan mengecam. Aku ulang, Islam itu harus menggugat, bukan mengecam. Kontra kepada dua penggunaan perkataan itu adalah kuat.

Bukan seperti kini, Islam itu tidak lagi menggugat segala fahaman yang ada, penganut fahaman lain tidak lagi takut dengan Islam kerana kehebatannya, tetapi takut kerana kecaman-kecaman yang diberikan oleh pendukung Islam seperti pembakaran kitab suci, serangan di bangunan ibadah, atau kata-kata ugutan yang tidak berilmiah. Boleh di lihat kerana kebanyakan agamawan itu mengecam fahaman-fahaman yang bertentangan secara membabi buta, dan kelakar. Seperti yang pernah terjadi dalam hujah-hujah agamawan di majlis-majlis ilmu di mana mereka mengkafirkan orang-orang yang berhaluan komunis dan sosialis, mengkafirkan golongan-golongan mazhab lain. Pada aku, adalah lebih baik sebelum agamawan itu mengkafirkan golongan yang tidak bersependapat dengan mereka melalui metode yang mereka tidak bersependapat. Jika tidak, akan jadilah seperti sekarang di mana gagah dan yakin untuk melaungkan Malaysia sebagai negara Islam tetapi masih kecut perut dan tutup mata kepada bangsawan-bangsawan liberal kapitalis yang memakan hasil untung sesuka hati di negara sendiri, negara Islam, kononnya. Iyelah, Ceh!

Dan sekarang jika anak muda ingin membawa imej Islam itu dari sudut pandangan mereka haruslah memakai pakaian yang sopan, rambut yang kemas, malah mungkin akan lagi dipandang hebat jika anak muda itu memakai kopiah atau jubah dan berserban. Ini juga salah satu masalah dalam masyarakat Islam di Malaysia, jika mendukung teologi Islam itu harus kelihatan seperti Pak Arab! Selepas selesai anak muda itu menjadi Pak Arab, Islam itu pula hanya di gunakan untuk menyekat individu untuk terus mengutarakan pendapatnya dalam masa yang sama merencatkan akal individu tersebut untuk terus berfikir secara kritis dan mendalam. Ini satu bencana besar! Maksud aku, bukan tak boleh berpakaian seperti Pak Arab, pakailah. Ikut suka dan selesa mereka untuk berketerampilan seperti mana pun, kerana Islam itu membebaskan seluruh umat manusia untuk berkarya (pemakaian juga adalah sebuah karya), tetapi apa yang aku kritik, adalah pandangan sebilangan ahli agamawan yang menganggap perkara pertama yang perlu dilakukan jika ingin membawa Islam, adalah dengan menjadi Pak Arab!

Apabila kita melihat salah satu contoh dari perayaan adat Islam di Malaysia yang sebenarnya mengangkat ahli pemikir, iaitu perayaan khatam Quran dan pulut kuning. Pada dasarnya, perkataan mengaji di dalam konteks “mengaji al-Quran” itu bermakna membaca, mengkaji, mendalami, mengetahui, dan mengenali dasar-dasar  di dalam kesejahteraan (Islam) itu sendiri. Naratifnya, seorang dari penduduk kampung itu telah habis mengkaji dan memahami is kandung al-Quran dan mampu untuk merelatifkan ia di dalam kehidupan melalui pelbagai aspek yang di kemukakan oleh al-Quran melalui sudut pengisian individualisme atau bermasyarakat, spiritual atau luaran. Maka, ia telah mampu untuk menangani hampir setiap permasalahan di kampung itu melalui metode al-Quran dan Islam. Oleh sebab itulah majlis khatam Quran dan pulut kuning itu diraikan, untuk menyambut dan mensyukuri lahirnya seorang penyelamat dan ahli fikir baru di dalam kampung itu. Tetapi tidak seperti sekarang, di mana masyarakat Malaysia didoktrinkan untuk menjadi seorang Pak Arab yang hanya tahu membaca Arabik, tetapi langsung tidak mampu untuk menghuraikan segala persoalan dan hujah-hujah yang dikemukakan oleh al-Quran. Dan perayaan ini seakan sudah tiada erti, melainkan hanya untuk meraikan individu-individu yang selesai sudah membaca sebuah buku berbahasa Arab. Jadinya, sambutan itu menyebabkan al-Quran itu di pandang sebagai sebuah misteri bagi penduduk kampung Melayu yang tidak faham perkataan Arab. Dan al-Quran itu tidak lebih dari sebuah buku novel fiksi atau non-fiksi kerana masyakat sudah malas untuk mengambil tahu apakah pengisiannya. Mengikut pendapat aku, membaca al-Quran dalam bahasa sendiri seribu kali lebih baik dari membaca buku berbahasa Arab. Lain kisahnya dalam konteks mempelajari bahasa. Dan lainlah jika nabi Muhammad suatu masa dahulu itu berbahasa Tagalog, tetapi kalam yang diajari oleh Jibril berbahasa Arab, mungkin aku akan pertikai semula pendapat ini.

Tuntutan berfikir ini, telah ditegaskan oleh Allah di dalam al-Quran, dan di dalamnya terdapat banyak ayat yang memenangkan akal dari mempercayai sesuatu secara membuta tuli, sebagai contoh di dalam surah al-Hadid ayat 17

ketahuilah oleh mu sesungguhnya Allah menghidupkan bumi sesudah matinya, sesungguhnya kami telah menjelaskan kepadamu tanda-tanda kebesaran (kami) supaya kamu memikirkannya.

Juga di dalam Ash-Shu’ara’ ayat 7

dan apakah mereka tidak memperhatikan bumi, berapakah banyaknya kami tumbuhkan di bumi itu pelbagai macam tumbuh-tumbuhan yang baik?

Di dalam Ali-Imran ayat 190 dan 191 menegaskan tanda-tanda kekuasaan tuhan hanya dilihat oleh orang yang menggunakan akal, di mana

sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal.
(iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): ya tuhan kami, tiadalah engkau menciptakan ini dengan sia-sia, maha suci engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka.

Di dalam al-Mulk ayat 3 pula, tuhan menegaskan untuk meneliti sesuatu perkara secara teliti, di mana

yang telah menciptakan tujuh langit berlapis-lapis. Kamu sesekali tidak melihat pada ciptaan tuhan yang maha pemurah sesuatu yang tidak seimbang. Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang?

Seperti mana al-Quran itu diturunkan kepada nabi Muhammad untuk nabi Muhammad memikirkannya dan memahaminya sebelum menyebarkan dan berdakwah, telah disebutkan di dalam Az-Zukhruf ayat 3  

sesungguhnya kami menjadikan al-Quran dalam bahasa Arab supaya kamu memahaminya.

Maka, dari beberapa potongan dari beberapa ayat Quran di atas cukup untuk menegaskan Islam itu amat mementingkan penggunaan akal dan digunakan secara kritis dalam menangani, mendalami, atau meneliti sesuatu perkara. Dan Islam juga mengangkat penganutnya untuk terus membaca, memahami, mendalami, meneliti, dan menjadi kritis dalam sesuatu bidang yang dikuasai. Bukan takut dengan isu kesesatan atau masuk neraka atas sebab silap menimba ilmu.

Dan konklusi aku adalah Islam itu harus menggugat, bukan mengecam seperti mana yang sedang berlaku sekarang di Malaysia. Islam itu adalah sebuah doktrin kepada kebebasan berfikir dalam hal-hal yang kritis dan bukannya sebagai doktrin dalam penyekatan penggunaan akal seperti yang hebat diperdagangkan oleh agamawan sekarang. Dan jika anak muda ingin mendukung Islam menjadi pegangan tetapi tidak suka memakai kopiah dan serban Pak Arab, tidak mengapa. Islam itu pakaiannya adalah kesejahteraan, keamanan, cinta, dan kopiah yang paling mahal adalah keikhlasan.

p/s: setiap segala sesuatu itu adalah milik tuhan. (idea yang tersangat kolektif dan anarkis!)

No comments:

Post a Comment