"Kita lahir dengan otak di dalam tengkorak kepala kita. Sehingga tidak peduli semiskin mana pun kita, kita tetap kaya. Kerana tidak akan ada seorang pun yang dapat mencuri otak kita, fikiran kita dan idea kita. Dan apa yang anda fikirkan dalam otak anda jauh lebih berharga daripada emas dan perhiasan."

Wednesday 17 December 2014

kecetekan minda orang kita tntang muzik dan media masa.

Terlebih dahulu saya nak terangkan kenapa saya masukkan rencana ini dan rencana yang sebelum ini kenapa, sebab adalah segelintir orang yang saya kenal beranggapan bahawa mendengar MUZIK BLACK METAL ini SESAT,TAK BETOL,TAK ADA AGAMA dan berbagai lagi.


"Mungkin anda hairan dan tertanya -tanya mengenai
tajuk rencana ini. Namun saya pasti anda tidak hairan dan terkejut
dengan istilah Black Metal, darah kambing hitam, pemujaan syaitan,
pengikut ajaran Black Metal, Pak Cik Paku, JIT dan bermacam macam
istilah yang pada saya cukup menggelikan hati. Bagi saya
istilah-istilah tersebut cukup menampakkan kebodohan media massa dan
betapa mudahnya orang ramai (yakni mereka yang tidak tahu menahu
mengenai muzik metal) ditipu pihak media.


Mungkin bagi anda, saya cuba untuk menghidupkan isu
yang sudah basi dan tidak relevan lagi pada masa kini. Isu Black metal
sebenarnya merupakan isu murahan yang cuba digembar-gemburkan oleh
pihak media yang konon-kononnya mempunyai tanggungjawab terhadap
masyarakat. Mereka ini barangkali sudah ketandusan idea bagaimana
hendak melariskan jualan akhbar-akbar dan majalah mereka. Kajian yang
cetek dan tuduhan membabi buta terhadap muzik dan peminat metal di
Malaysia terlalu kejam dan sangat-sangat melampau. Apa yang
menghairankan saya, pihak media yang konon-kononya bertanggungjawab ini
tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk menuduh peminat muzik metal ini
melakukan pelbagai perkara yang bagi saya cukup tidak masuk akal sama
sekali. Mereka ini dengan sewenang-wenangnya menuduh peminat muzik
metal melakukan pemujaan syaitan, meminum darah kambing hitam,
melakukan seks dihadapan Al-Quran, membakar Al-Quran dan bermacam-macam
lagi perbuatan yang konon-kononya menghina agama Islam.

Cuba anda lihat kembali akhbar dan majalah murahan
Mastika dan Harian Metro (bagi saya akbar dan majalah tersebut memang
murahan) pada waktu isu Black Metal ini sedang hangat diperkatakan.
Terdapat pelbagai tajuk mengenai isu Black Metal seperti Seks Di Atas
Al Quran, Pengakuan Bekas Pengikut Black Metal, Saya Sembah Syaitan dan
sebagainya. Akan tetapi, pernahkah anda melihat bukti yang jelas dan
terang yakni gambar bahawa terdapat muka-muka orang Islam yang
melakukan perbuatan tersebut?

Apa yang saya lihat ialah kebanyakkan gambar
kumpulan-kumpulan Black Metal dari luar negara seperti Norway dan
Sweden yang hanya berpakaian ganas dan serba hitam. Kebanyakkan
gambar-gambar yang disiarkan merupakan gambar yang boleh diambil
sewenang-wenangnya dari internet dan ada gambar-gambar berkenaan bukan
pun kumpulan Black Metal. Tidak dinafikan terdapat juga gambar gambar
kumpulan metal dari Malaysia, akan tetapi benarkah kumpulan-kumpulan
Black Metal di Malaysia melakukan perkara perkara terkutuk tersebut?
Pernahkah mereka mewawancara kumpulan-kumpulan berkenaan dan mengkaji
lirik kumpulan Black Metal di Malaysia?

Jika benar pun kumpulan dan peminat muzik metal di
Malaysia melakukan perkara tersebut, kenapa tidak ada bukti yang kukuh
seperti gambar dan rakaman yang jelas? Apa yang saya dapat lihat di
majalah dan akhbar ialah gambar-gambar yang tidak jelas dan seperti
dirancang untuk membuktikan berlakunya perkara yang mereka cuba
heboh-hebohkan ini. Begitu juga mengenai wawancara dengan dengan bekas
pengikut ajaran Black Metal konon-kononya. Bagi saya penipuan yang
mereka cuba sampaikan kepada orang ramai ini terlalu lemah dan mudah
sekali dikesan penipuannya oeh peminat-peminat muzik metal.
Bayangkanlah mereka mewawancara budak hingusan yang masih tidak cukup
akal lagi untuk memperkatakan mengenai muzik metal. Budak sekolah yang
masih hingusan ini pula dengan berbangganya akan menceritakan mengenai
black metal yang konon-kononya menjadi isu semasa pada waktu itu dengan
niat untuk mencari nama dan tiba-tiba sahaja mengaku menjadi pengikut
ajaran Black Metal walaupun budak bangang yang diwawancara oleh
wartawan bengap ini , tidak mendengar muzik Rock pun sebenarnya.

Selain itu, wartawan bengap ini juga dengan rasa
bertanggungjawabnya telah menyiarkan gambar botol arak yang sudah
diminum dan bersepah untuk mengatakan bahawa pengikut ajaran Black
Metal ini meminum arak semasa berkumpul sesama ahli kumpulan ataupun
semasa gig black metal diadakan. Ini memang cukup cukup menggelikan
hati saya dan peminat peminat muzik metal yang lain. Gambar tersebut
bagi saya satu lagi bukti yang lemah kerana gambar tersebut boleh
diambil dari mana-mana tempat hiburan seperti disko ataupun dangdut.
Tiada satu pun gambar yang menunjukkan pengikut ajaran Black Metal yang
sedang minum arak. Jika begitulah cara mereka mencari berita sensasi,
saya fikir sesiapa pun boleh berbuat demikian dan jikalau saya ditempat
wartawan tersebut, saya akan mengambil gambar botol arak dan mengatakan
bahawa seorang pemimpin kerajaan telah meminum minuman keras di sebuah
kelab eksklusif yang terkemuka.
Senang jika mahu mencari berita sensasi bukan?

Jika difikirkan kembali, tempat-tempat seperti disko
ataupun di kedai-kedai cina yang menjual arak, lebih ramai lagi orang
Islam meminum arak di tempat berkenaan dan mereka ini bukanlah pengikut
ajaran Black Metal pun! Mahukan bukti? Sila lawati Hard Rock Cafe,
Beach Club, Nouvo, Zouk dan bersepah lagi disko di sekitar Lembah
Klang. Malah anda akan dapat melihat pelbagai gelagat tidak senonoh
orang Melayu di tempat berkenaan dan mereka tidak perlu menjadi ahli
JIT pun untuk menjadi seorang manusia yang rosak.

Pernahkah anda terfikir bahawa akhbar dan majalah
murahan seperti Harian Metro dan Mastika sangat-sangat hipokrit dan
tidak sedar bahawa mereka pun sebenarnya tidaklah bermoral sangat. Jika
diteliti, wadah-wadah ini turut mempunyai unsur-unsur yang boleh
menyumbang lepada gejala sosial. Cuba anda perhatikan, terdapat
pelbagai iklan muat-turun gambar untuk telefon bimbit. Ada diantara
gambar berkenaan memaparkan gadis-gadis seksi yang hanya berbikini dan
kelihatan mengghairahkan. Anda juga boleh melihat gambar-gambar artis
perempuan yang berpakaian menjolok mata selain gambar perempuan seksi
di dalm ruangan Gadis Pilihan Metro.

Jikalau anda teliti lagi,majalah dan akhbar
berkenaan rajin memaparkan iklan-iklan bomoh, pawang, nujum dan
pelbagai lagi perkhidmatan yang boleh menyembuhkan penyakit.
Iklan-iklan sebegini juga boleh menyumbang kepada keruntuhan moral dan
perbuatan syirik. Seperti iklan bomoh umpamanya, adakah mereka ini
betul-betul bertauliah untuk mengubati penyakit-penyakit ganjil. Jangan
hairan jika saya nyatakan disini mungkin ada diantara bomoh-bomoh
berkenaan menggunakan bantuan makhluk halus untuk tujuan merawat
pesakit. Mungkin tuduhan saya agak melulu. Jika difikirkan kembali,
dunia tahyul dan animisme merupakan perkara yang sangat rapat dengan
dunai orang-orang Melayu. Jikalau tidak, masakan adanya istilah
Pontianak, Toyol, Hantu Raya, Polong, Penanggal, Langsuir dan bermacam
lagi istilah-istilah hantu-syaitan yang lain.

Adakah orang Melayu pada waktu dahulu (sekarang pun
masih ada barangkali) terpengaruh dengan muzik Black Metal untuk
membela hantu raya, polong, langsuir dan sebagainya?! Perkara-perkara
berkaitan hantu-syaitan ini sebenarnya sangat rapat dengan dunia orang
Melayu sebelum adanya muzik Black Metal. Ini satu kenyataan!

Berbalik kepada amalan perbomohan tadi, sesetengah
bomoh-bomoh yang menggunakan bantuan makluk halus untuk tujuan
perubatan ini tidak mendengar Black Metal atau menjadi pengikut pun
untuk menjadi murtad berbanding dengan tuduhan pihak media yang
mengatakan peminat muzik Black Metal di sini murtad dan menyembah
syaitan. Selain itu kita juga pernah mendengar berita mengenai kes-kes
penipuan bomoh dan tak kurang juga mengenai perkosaan bomoh terhadap
pesakit yang dirawat.

Berbalik kepada kebodohan media tadi,saya terfikir
satu perkara. Tidakkah para wartawan yang bengap ini mahu terfikir dan
mengkaji bahawa skop muzik metal itu luas sifatnya? Mereka ini secara
sah dan terang-terang tidak tahu membezakan genre-genre yang terdapat
di dalam muzik metal. Di sini ingin saya terangkan sedikit, di dalam
muzik metal terdapat Heavy Metal, Thrash Metal, Death Metal, Speed
Metal, Black Metal, Doom Metal dan pelbagai lagi genre-genre yang lebih
spesifik. Adakah para wartawan ini mengkaji sepenuhnya genre-genre
berkenaan? Saya ungkitkan hal ini kerana terdapat satu tajuk berita di
dalam akhbar Harian metro yang menyatakan bahawa peminat peminat muzik
Black Metal akan berkumpul dan mengamuk pada satu gig yang akan
diadakan di Melaka dan flyers (iklan) gig berkenaan dipaparkan sekali bersama berita berkenaan.

Apa yang memeranjatkan saya, secara terang-terangan
tertulis pada flyers tersebut bahawa gig berkenaan merupakan gig muzik
grunge. Untuk pengetahuan anda, muzik metal dan grunge adalah berbeza
sekali dari segi lagu, lirik, nyanyian, melodi dan sebagainya! Ini
secara terang-terangan menampakkan kebodohan dan kejahilan mereka
terhadap apa yang mereka ingin gembar-gemburkan mengenai isu black
metal ini. Selain itu, satu lagi berita lawak dan penganiayaan bagi
saya ialah gig yang berlangsung di Paul’s Place, Jalan Klang Lama
sempena menyambut tahun baru 2006. Akibat daripada berita-berita palsu
daripada wartawan Harian Metro dan Mastika ini, pihak polis telah
menyerbu gig berkenaan dengan menyangkakan bahawa gig berkenaan ialah
gig Black Metal. Untuk pengetahuan anda gig berkenaan ialah gig
Hardcore dan rata-rata kumpulan yang membuat persermbahan pada gig
tersebut ialah kumpulan muzik yang membawakan muzik genre Hardcore dan
bukan Black Metal.

Lanjutan daripada kes serbuan gig itu, mereka telah
dibawa ke balai polis Brickfield untuk pemeriksaan. Saya tidak ingin
menceritakan secara lanjut mengenai serbuan berkenaan dan apa yang
terjadi kepada penonton dan kumpulan muzik yang hadir pada gig
berkenaan. Anda boleh melawati {wastedtalent}
untuk mengetahui cerita selanjutnya. Berbalik kepada kepada apa yang
saya cakapkan tadi, kajian yang cetek dan tuduhan melulu terhadap muzik
Black Metal di Malaysia ini telah menganiaya pelbagai pihak dan
menjatuhkan air muka pihak-pihak berkenaan. Semasa isu ini sedang
hangat diperkatakan ada satu-satu ketika di muka hadapan Harian Metro
dan cerita-cerita di dalam majalah Mastika mengatakan bahawa pengikut
ajaran Black Metal ini melakukan seks di hadapan Al Quran! Pertama kali
saya membaca berita ini,saya mengucap panjang! Mereka ini sanggup
mengeluarkan berita yang sangat-sangat melampau untuk menarik perhatian
pembaca. Sudahlah mereka ini memfitnah peminat muzik
metal, bukti pun tidak dapat di nyatakan dengan jelas mengenai perkara
tersebut. Bagi saya mereka ini sanggup menghina bangsa sendiri asalkan
akhbar mereka laris seperti pisang goreng panas.

Adakah mereka betul-betul nampak akan berlakunya
perkara tersebut dan mengapa tiada bukti gambar disiarkan dalam berita
berkenaan? Tidakkah mereka terfikir bahawa dosa memfitnah itu lebih
besar dosanya daripada dosa membunuh?
BUDAYA POP

Sekali lagi anda mungkin hairan mengapa tiba-tiba
terdapat tajuk budaya pop diatas dan kaitannya dengan Black Metal.
Kaitannya anda mungkin akan faham setelah membaca penerangan saya
kelak. Saya begitu pasti selama anda menonton televisyen, mendengar
radio dan membaca majalah hiburan, pernahkah anda mendengar atau
melihat lagu-lagu ataupun kumpulan Black Metal yang dipaparkan pada
saluran tersebut? Persoalan saya saya disini sebenarnya ialah, berapa
banyak unsur-unsur berkaitan black metal ini keluar di radio, majalah
ataupun televisyen?
Jawapannya sudah tentu tidak ada bukan?

Jadi disini, apakah yang merisaukan banyak pihak
termasuk polis, ibu-bapa, guru, pihak kerajaan dan sebagainya mengenai
genre muzik berat ini sehingga kelam kabut untuk mengadakn serbuan,
memeriksa bilik anak masing-masing, menangkap mereka yang berbaju
hitam, dan paling lawak sekali ialah kemunculan drama bersiri Gerak
Khas yang tiba-tiba sahaja membuat satu episod khas mengenai Black
Metal? Saya tidak fikir Datuk Yusuf Haslam tahu apa itu Black Metal
selain mengambil bulat-bulat apa yang dia lihat di media massa. Lihat
sahaja filem-filem berkualiti yang di hasilkan oleh beliau.

Berbalik kepada persoalan tadi, apa yang lebih
merisaukan pada saya ialah elemen-elemen yang keluar daripada saluran
radio, majalah hiburan dan televisyen. Saya lebih suka memanggil
elemen-elemen ini sebagai Pop Culture atau budaya pop. Disini
kita boleh ambil contoh televisyen. Apa yang selalu disiarkan di
televisyen kalau bukan hiburan dan cerita-cerita yang langsung tidak
mengembangkan minda. Namun begitu, bukanlah semua semua rancangan yang
disiarkan seperti apa yang saya sebutkan tadi. Ada juga
rancangan-rancangan yang bagus untuk ditonton.

Berbalik kepada apa yang saya ketengahkan tadi, kita
ambil contoh MTV dan Channel V umpamanya. Cuba lihat apakah yang cuba
dipertontonkan kepada khalayak? Kita boleh melihat video-video klip
yang cukup merosakkan minda penonton. Ambil contoh video-video klip
artis hip hop. Apa yang cuba di tayangkan kalau bukan lagi
tarian-tarian perempuan kulit hitam yang cukup mengghairahkan serta
serupa tidak berpakaian. Mereka ini menceritakan kehidupan Gengster
kulit hitam di Amerika melalui video muzik di MTV dan Channel V. Secara
terang-terangan ({wt} - well maybe not that obvious to our esteemed moral guardians)
mereka menunjukkan di dalam video klip berkenaan bahawa menghisap
ganja, meminum arak dan seks bebas adalah perkara yang menyeronokkan
dan perlu dijadikan gaya hidup pada masa sekarang.

Video-video klip ini juga mengeksploitasikan wanita
secara terang-terangan. Untuk bukti, lihat sahaja klip-klip video artis
rap seperti Ja Rule, 50 Cent, Snoop Dog, Jay Z dan sebagainya di
saluran MTV dan Channel V. Pernahkah anda terfikir, elemen-elemen
negatif ini di tayangkan setiap hari di televisyen di dalam rumah anda?
Yang paling berbahaya sekali ialah video-video klip ini ditonton oleh
seisi keluarga dan ibu bapa tidak hairan pun jika anak mereka menonton
video ini setiap hari.

Bagi saya, orang yang tidak menyedari hal ini akan
menganggap bahawa perkara ini sebagai remeh-remeh dan tidak boleh
memberikan impak negatif kepada masyarakat. Ini sebenarnya yang paling
berbahaya kerana ianya dilakukan secara halus dan tidak sedar. Yang
amat menghairankan saya, mereka yang menjadi pengikut MTV dan Channel V
inilah yang selalu menjadi rosak. Lihat sahaja cara berpakaian mereka
yang menjadi pengikut pop culture ini di disko-disko ataupun di pusat
membeli belah yang terkemuka. Mengapa perkara yang secara
terang-terangan ini tidak di jadikan modal berita oleh wartawan bengap
Harian Metro dan Mastika? Adakah mereka melihat perkara perkara yang
boleh dan selalu diterima oleh masyarakat budaya pop ini tidak
mempunyai keburukkan?

Saya fikir wartawan-wartawan ini juga mungkin
barangkali menjadi hamba kepada budaya pop ini. Mengapa mereka sibuk
menceritakan hal yang mereka sendiri tidak tahu(Black Metal) sedangkan
banyak perkara tidak elok sedang berlaku di hadapan mata!

Selain mengenai video klip, adakah anda sedar bahawa
kebanyakkan rancangan yang disiarkan di televisyen seolah menghalalkan
elemen negative secara halus? Cuba lihat rancangan seperti Trio,
Akademi Fantasia, Mencari Cinta, Cit-Cat Azwan Ali dan sebagainya. Apa
yang dapat dilihat disini ialah betapa bodoh lemahnya idea-idea yang
cuba mereka tampilkan. Orang orang yang meminati serta menonton
rancangan sebegini juga pada saya sangat dungu. Ambil contoh Akademi
Fantasia misalnya, sudahlah mempunyai seorang pengacara yang lembik dan
menjatuhkan martabat imej lelaki sejati, mereka ini juga cuba
menjadikan orang ramai turut bodoh dan dungu jika menonton rancangan
mereka.

Banyak perkara yang memualkan pada saya pada tentang
rancangan ini. Mereka cuba membodoh-bodohkan penonton dengan
menayangkan kehidupan artis-artis mereka di sebuah rumah dengan
aksi-aksi bangang lagi bengap! Mereka sibuk memberitahu peminat mereka
yang mereka lapar, menderita, bosan, tekanan berada di dalam rumah
berkenaan semata-mata mengejar impian mereka untuk bergelar artis
segera. Yang paling membangangkan bagi saya ialah mereka
bercakap-cakap, menangis dan mengadu domba di hadapan kamera yang ada
dalam rumah itu seolah-olah kamera tersebut benda hidup yang boleh
memahami hati mereka. Itulah sebab saya mengatakan mereka yang menonton
rancangan seperti ini bangang dan dungu.

Satu lagi rancangan yang pada saya tidak
mengembangkan minda ialah Trio yang disiarkan di TV3. Cuba anda lihat
elemen negatif yang cuba diserapkan kepada remaja-remaja perempuan.
Mereka memikat para pononton perempuan (dan juga lelaki) dengan
menonjolkan imej seksi pada para pelakon siri tersebut. Selain itu,
rancangan ini juga cuba mempengaruhi remaja-remaja perempuan supaya
berpakaian seperti mereka dan menghidangkan ciri-ciri kehidupan remaja
perempuan ala-ala Amerika. Saya amat geli hati apabila pertama kali
menonton rancangan berkenaan. Bagi saya ketiga-tiga gadis rancangan
tersebut seolah-olah datang dari kawasan pendalaman (mereka mungkin
orang bandar sebenarnya, itu saya tidak tahu) yang mengalamiculture shock (kejutan budaya) apabila beriya-iya benar memaparkan kehidupan remaja yang terkini.

Cuba anda bayangkan apa yang akan mempengaruhi para
remaja perempuan yang duduk di luar bandar apabila menonton rancangan
seperti ini? Anda boleh berfikir sendiri apabila menontonnya. Bagi saya
dan mereka yang bukan menjadi hamba budaya pop, rancangan seperti Trio
boleh menggeletek hati kami!

Satu lagi saluran yang mempunyai elemen tidak sihat
secara halusnya ialah saluran radio. Mengapa saya katakan sedemikian?
Cuba dengar dengan teliti kebanyakkan lagu-lagu yang keluar di radio.
Kebanyakkan lagu yang disiarkan amatlah mengecewakan dan tidak
mempunyai kualiti. Lagu-lagu melankolik yang menjengkelkan mengenai
cinta yang putus, kekecewaan terhadap kekasih, kesunyian tiada kekasih
dan sebagainya juga boleh memberikan kesan buruk kepada pemikiran
masyarakat. Kelompok-kelompok yang mendengar lagu-lagu begini biasanya
tidak tahu menilai sebuah lagu yang bagus apatah lagi untuk menilai
kualiti muzik dan juga lirik.

Jika difikirkan semula, perkara ini berlaku kerana
mereka ini sejak dari dahulu iaitu sejak dari zaman hitam-putih
dihidangkan dengan lagu-lagu yang mendayu serta meratap pilu dan
stesen-stesen radio tempatan pula tidak mempunyai banyak perubahan atau
revolusi untuk mendidik pendengar mendengar lagu lagu yang berkualiti.
Akibatnya disini, kelompok-kelompok yang menjadi peminat setia lagu
lagu jiwang ini seperti mat-mat rempit akan terpengaruh dengan lagu
lagu yang menceritakan betapa syahdunya berkasih sayang dan tidak
hairan mereka akan berfantasikan seks apabila menghayati melodi dan
lirik lagu sebegini. Bayangkan apa yang akan terjadi jika kelompok
kelompok seperti mat rempit ini mendengar lagu-lagu melankolik ini
setiap hari. Tidak hairanlah jika kita mendengar kes mengenai
penangkapan pasangan berkhalwat, kes buang bayi, kes sumbang mahram dan
sebagainya.

Pernahkah anda mendengar mereka yang terlibat dengan
kes-kes sebegini dari kalangan pengikut ajaran Black Metal? Tidak ada
bukan? Satu lagi perkara yang perlu bagi saya ungkapkan disini ialah
mengenai majalah-majalah hiburan dan gossip yang berlambak di pasaran.
Majalah-majalah berkenaan sebenarnya tidak bermoral langsung dan secara
halusnya menjahanamkan pemikiran mereka yang menjadi pembaca setia
majalah tersebut. Ambil contoh majalah Mangga dan URTV umpamanya, cuba
anda teliti apakah isi majalah tersebut. Anda akan dapat melihat tidak
lain dan tidak bukan gambar-gambar artis perempuan yang berpakaian
tidak senonoh dan mengghairahkan. Apa yang mengecewakan saya
kebanyakkan artis-artis berkenaan merupakan orang Islam!

Selain daripada imej-imej seksi ini disiarkan juga
gossip-gossip liar dan bodoh kepada para pembaca yang bengap ini.
Wadah-wadah murahan ini akan menceritakan mengenai perihal peribadi
artis-artis tempatan dan luar negara. Apa yang paling merosakkan sekali
ialah mereka turut menceritakan hal-hal dalam kelambu artis yang sedang
digossip. Tindakan mereka ini boleh merosakkan pemikiran masyarakat.
Saya hairan mengapa pihak kerajaan ataupun pihak-pihak tertentu tidak
menapis majalah-majalah seperti ini sebelum dipasarkan? Tidakkah mereka
nampak kesan negatif yang akan meracuni pemikiran rakyat khususnya
orang Islam. Bukankah fitnah itu satu dosa besar? Sudahlah budaya
orang-orang Melayu selalu dikaitkan dengan perangai umpat-mengumpat
(terutama kaum-kaum ibu) jika adanya lagi wadah-wadah perosak minda
seperti ini, maka semakin rosaklah otak orang-orang Melayu.

Pihak polis, pihak kerajaan, ibu-bapa dan pelbagai
pihak cukup sibuk dan menggelabah mengenai isu black metal ini, akan
tetapi mereka tidak sedar bahawa banyak kemungkaran yang berlaku di
hadapan mata mereka. Kadang-kadang saya terfikir, adakah pihak-pihak
yang kononnya prihatin ini tidak sedar ataupun buat-buat tidak sedar
bahawa banyak lagi perkara negatif yang nampak halus perlu dibanteras
daripada sibuk menangani isu black metal yang secara sahnya menampakkan
mereka tidak tahu apa-apa mengenai muzik metal ini.

Disini, ingin saya mengajak pembaca berfikir sekali
lagi, golongan yang manakah lebih rosak, golongan mereka yang meminati
muzik besi hitam ataupun golongan yang menjadi hamba kepada budaya pop?
Sebagai seorang yang mempunyai pemikiran yang bijak dan waras, anda
tentunya lebih bijak menentukan yang mana baik dan buruk. Pada
pandangan saya, isu Black Metal ini tidak akan diungkit atau disentuh
langsung pun jika muzik Black Metal ini boleh memberikan duit kepada
pihak-pihak tertentu. Terperanjat dengan kenyataan ini? Cuba anda
bayangkan jika muzik Black Metal, kumpulan atau apa-apa sahaja
berkaitan Black Metal ini mengeluarkan, menaja, membuka fraincais dan
apa sahaja pada minuman keras, jenama rokok, rancangan hiburan seperti
MTV, kedai nombor ekor ataupun muzik Black Metal menjadi lagu kegemaran
bagi artis berbakat besar Mawi.

Maksud saya disini ialah umpamakan dengan adanya
arak berjenama Black Metal, MTV berjenama Black Metal, kedai nombor
ekor berjenama Black Metal ataupun McDonald berjenama Black metal maka
pelbagai pihak akan menutup mulut dan terus diam tanpa bersuara kerana
Black Metal memberikan duit kepda mereka dan Black Metal boleh diterima
oleh semua orang!

Lihat sahaja kemungkaran yang berlaku dihadapan mata
seperti kilang arak, kedai nombor ekor, Genting Highland, ladang ternak
babi, Balai Polis di Lorong Haji Taib, mak nyah dan gay yang bersepah
di sekitar Kuala Lumpur dan sebagainya. Kenapa tiada tindakan daripada
pihak pihak yang bertanggungjawab ini?

Jika ada pun tindakan hanyalah sekadar untuk
mengaburi mata masyarakat dan sekadar hanya untuk menunjukkan mereka
membuat kerja. Dapat tangkap maksud saya disini?Jika anda seorang yang
menjadi hamba kepada budaya pop ini ataupun anda seorang yang senang
menerima bulat-bulat apa sahaja yang dihidangkan dalam kehidupan harian
kita, kemungkinan besar anda tidak dapat menangkap maksud dan persoalan
yang saya cuba coretkan di dalam artikel ini. Banyak benda dan perkara
yang senang diterima oleh masyarakat sebenarnya juga mempunyai
keburukan. Keburukkan itu bagi saya lebih berbahaya kerana ianya lebih
halus meresapi minda masyarakat tanpa disedari. Mengkambing Hitamkan
muzik Black Metal semata-mata adalah satu tindakan yang kurang bijak!!!"

No comments:

Post a Comment