"Kita lahir dengan otak di dalam tengkorak kepala kita. Sehingga tidak peduli semiskin mana pun kita, kita tetap kaya. Kerana tidak akan ada seorang pun yang dapat mencuri otak kita, fikiran kita dan idea kita. Dan apa yang anda fikirkan dalam otak anda jauh lebih berharga daripada emas dan perhiasan."

Wednesday 17 December 2014

KOLEKTIF

Setiap segala sesuatu itu hanyalah milik Allah.”

Katakanlah: “kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi?”
Katakanlah: “kepunyaan Allah”. Dia telah menetapkan atas dirinya-Nya kasih sayang. Dia sungguh akan menghimpunkan kamu pada hari kiamat yang tidak ada keraguan padanya. Orang-orang yang meragukan dirinya mereka itu tidak beriman.
 (Al-an am: ayat 12)

Jika ada yang bertanya kepada ku: “apakah itu perhambaan?” maka aku akan menjawab dengan satu kata, “Pembunuhan!”, dan maksud ku akan dimengerti dalam sekali tangkap. Tidak perlu ada argument lain untuk menjelaskan bahawa adanya kekuatan untuk mengambil pemikiran orang, keinginan, serta personalitas mereka, adalah sebuah kekuatan hidup dan mati, kerana memperhambakan seseorang sama saja dengan membunuh mereka. Lalu jika ada yang bertanya: “Apa itu properti?” kenapa tidak aku menjawab sebagai “Pencurian”?
Pierre-Joseph Proudhon (1809 – 1865)


Apabila larut malam aku memikirkan tentang hal ini, membuatkan tidak cukup hanya untuk baring dan memikirkannya tanpa sebarang catatan. Apakah mereka-mereka ini masih tidak mengerti? Apakah mereka masih lagi berani untuk memperakui tentang perhakmilikan peribadi? Atau sesudahnya bertauhid kepada yang Esa yang memiliki setiap properti, lalu bertauhid juga yang mereka berkuasa terhadap sesuatu properti? Sesungguhnya, setiap segala sesuatu ini adalah hak milik bersama! Segala sesuatu itu perlu dikongsi bersama, seperti kisahnya Nabi junjungan Muhammad rasul Allah yang lebih menggemari memakan makanan yang telah disentuh oleh ramai orang. Betapa besarnya ikon kolektif yang dibawa baginda sehingga seremeh makanan juga menjadi sebuah simbolik kepada perpaduan bersama. Mungkin sebab itu, favorite aku kepada seorang jejaka jalanan yang kurang siuman atau gila yang selalu kelihatan berlegar di kawasan Jalan Raja Laut gemar untuk mengenakan T-Shirt nya yang bernota di bahagian belakang “Muhammad’s punk baby.”

Ah, mana boleh! Jika begitu mereka yang malas pun juga akan sebaris bersama-sama dengan sang perajin? Jika begitu, mereka-mereka yang miskin tidaklah lagi perlu bekerja keras membanting tulang untuk menghidupkan kehidupan daifnya, dan sang kaya pula akan sia-sia sajalah pengorbanan mereka selama beberapa tempoh berusaha untuk membuahkan hasil usaha kerasnya. Makanya, secara tidak langsung masyarakat itu akan menjadi sebuah masyarakat yang pemalas, tidak mahu berusaha, atau goyang kaki duit masuk. Ini amat tidak selari dengan teguran seorang tokoh lagenda kanan yang digelar bapa pembangunan kepada abang perdana menteri, di mana maksudnya berbunyi seperti “masyarakat perlu diberi tekanan untuk membuatkan mereka lebih berusaha, bukan di manjakan.” Bagaimana untuk merdeka, jika manusia masih belum bebas untuk memiliki tanah-tanah yang dihadiahkan oleh tuhan kepada kita?

Hebat pemikiran pendukung kapitalisme ini. Disebabkan tekanan yang berlebihan itulah, lahirnya sebuah rasa untuk meragut, merompak, mencuri, menyamun, segala apa perbuatan yang melanggar hak asasi manusia berlegar di fikiran-fikiran kelas pertengahan yang mempunyai berbakul-bakul tekanan dan bebanan untuk di pikul seperti susu, lampin, sewa rumah, bil api air, barang dapur, konsumerisme anak-anak, hutang hasil jual beli edukasi, dan pelbagai lagi masalah yang menghantui dan mendesak masyarakat pertengahan supaya melakukan perbuatan yang melanggar hak asasi. Dan hal-hal seperti itulah barang yang dinamakan seperti iblis, dan yang membisik-bisik untuk melaksanakan keadaan itu adalah penyampai angin kus-kus seperti syaitan, aku rasalah. Rasa. Aneh sungguh simbolisme agama ini.

Siapa suruh jadi pemalas? Sudah tahu miskin, siapa suruh kahwin? Ah, golongan pemalas memang selalu begitu, bekerja tak mahu, tapi jika mahu meminta-minta itu dan ini cepat saja turun ke jalan raya. Gagah saja berjalan kaki menyusuri lebuh raya, protes katanya. Usah dilayan, orang pemalas memang begitu.

Sudah tiada agamakah? Bersyukur sajalah dengan apa yang masih ada. Tuhan ada, agama juga sudah ditetapkan syariatnya, kenapa masih nak mencuri? Mereka yang mencuri itu, tahu kerja nak senang saja. Inilah sikap orang pemalas. Hanya tahu merampas hak orang.

Lagi sekali, hebat sungguh pemikiran borjuis ini sehingga mampu mendoktrinkan semangat kemasyarakatan yang satu jiwa lagi satu bangsa ini. Ladies and gentlemen, your one Malaysia.

Seharusnya sudah tidak perlu untuk diperkatakan lagi tentang ini, sudah berzaman berlalu. Tegasnya, ini bukan tentang masalah pengagihan rezeki tuhan yang secara langsung kepada manusia. Ini bukan lagi tentang takdir tuhan yang menentukan setiap kehidupan manusia, ini bukan lagi tentang qada dan qadar. Ini belum lagi sampai ke tahap manjada wajada atau siapa yang menanam dia yang menuai. Tetapi ini adalah tentang kisah perekonomian yang paling awal, perekonomian masyarakat yang kolektif, dan kolektivisme itu mengikut aku adalah usuluddin bagi ekonomi. Jika ingin memperkatakan tentang rezeki, di mana setiap orang tidak mendapat rezeki yang sama, memang benar. Ini kerana kolektif itu hanyalah basis kepada rezeki, bukan pendapatan rezeki sepenuhnya! Simboliknya sama seperti fikah, di mana fikah itu adalah basis kepada hukum-hakam dan garis-garis panduan atau guideline dalam mentauhidkan tuhan, fikah itu kolektif penyatuan masyarakat dan platform awal kepada ilmu tauhid di mana setiap penganut akan menjalani sebuah ritual manifestasi yang sama, lalu apabila ada sesetengah barang fikah yang membuat sesetengah individu itu sukar, atas sebab itu pula lah datangnya tasawuf, yang membincangkan perihal-perihal yang dalam dan rahsia. Di dalam tasawuf inilah individu itu menyelami tentang rasa, zahir, dan spiritual. Dan apa yang dicari, dialah yang akan memperoleh apa yang ditemukan, dan di sini lah baru terlaksananya manjada wajada. Dan seperti itulah kolektif yang dimaksudkan, tanah-tanah ini adalah hak milik bersama, di mana setiap orang berkongsi tanah yang sama untuk membina rumah, bercucuk tanam, dan melakukan pembangunan. Setiap material yang diberi tuhan secara langsung (nature) adalah subjek yang tidak boleh diperhakmilikan. Kerana jika diperhakmilikan, akan ada yang rugi dan ada yang untung. Yang rugi akan jauh ketinggalan di belakang, dan yang untung akan terus bertambah maju ke hadapan. Akan ada yang berpunya dan akan ada yang papa kedana. Kerana alam semula jadi adalah platform basis yang dikurniakan tuhan. Atas alasan itu, perhakmilikan di atas alam semula jadi adalah pencabulan hak masyarakat. Tetapi hasil-hasil dari produksi dari alam semula jadi adalah hak milik individual, kerana engkau mendapat apa yang engkau kerjakan!

Dan atas dasar kolektif, Allah menurunkan wahyu kepada nabi Muhammad Seorang. Apakah mustahil bagi tuhan yang maha agung untuk menurunkan wahyu kepada setiap insan yang wujud di muka bumi? Haruslah mampu, jikalau tidak Dia bukanlah sang penghulu kepada segala penciptaan. Namun, mengapa tidak? Mengapa hanya diturunkan hanya kepada nabi Muhammad seorang? Bukankah itu lagi memperlecehkan urusan? Di sini juga menjadi jawapan kepada mengangkat kolektivisme sebagai dasar di mata masyarakat Arab, kerana di ketika itu masyarakat Arab jahilliyah adalah sebuah kaum yang tidak punya kekuatan sillaturahim atau brotherhood yang kuat melainkan hanya di dalam suku kasta bangsa mereka sendiri sahaja. Tetapi di sudut bahagian lain, perpaduan umat masyarakat Arab jahilliyah secara keseluruhan adalah terlampau rapuh, kebencian, diskriminasi, ketidakstabilan ekonomi, jurang antara tiga golongan, para hamba pula hanya sebagai keldai yang membuat kerja, ketidakadilan adalah perkara asas yang diadaptasikan di mana-mana sahaja pada ketika itu. Makin bertambah buruk, apabila rasa kehormatan suku kaum mereka terusik sedikit, akan terjadi pertelingkahan yang membawa pertumpahan darah dan berlanjutan sehingga beberapa generasi (mungkin di waktu itu ada samseng ekstremis Arab mengecam suku kaum lain dengan “hang nak tengok sejarah 13Mei berulang?”). Dan sebab itulah, wahyu hanya diturunkan kepada seorang insan sahaja. Supaya kerja-kerja kemasyarakatan itu kembali pulih, menjadi simbolik betapa besarnya kuasa kolektif atau perkongsian di dalam masyarakat sehingga membuahkan hasil. Dan hasil daripada kolektif Muhammad yang telah menerima wahyu tersebut, adalah baginda berjaya merevolusikan bukan saja masyarakat tanah Arab, tetapi hasil dari kolektif itu tersebar luas sehingga ke serata dunia dalam hanya jangka tempoh waktu yang pendek jika dibandingkan tempoh zaman kegelapan berlangsung. Dan sebaran kuasa revolusi (Islam) yang dibawa Muhammad itu bukan hanya terhad kepada metafisis religius, tetapi cukup merangkumi setiap aspek kolektivisme masyarakat seperti karya, ekonomi, ilmu, seni, sosial, falsafah, penerokaan teknologi, bahasa, dan lain-lain. Dan selepas kuasa kolektif itu membuahkan hasil di mana setiap orang pada zaman itu mempunyai platform dan peluang yang terbuka luas untuk membidas kemiskinan, baru hudud itu di laksana. Cuba bayangkan, jika baginda tidak mempunyai sifat kemasyarakatan yang kolektif, apa jadi? Mungkin aku sekarang sedang berjuang mempertahankan kasta kemelayuan ku atau aku sedang ditindas kerana kasta bangsa ku dianggap pendatang asing di tanah tuhan.

Tiadakah kamu mengetahui bahawa kerajaan langit dan bumi adalah kepunyaan Allah? Dan tiada bagimu selain Allah seorang pelindung mahupun seorang penolong.
 (Al-Baqarah: Ayat 102)

Dialah yang menjadikan bumi sebagai hamparan bagimu dan langit sebagai atap, dan Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untukmu; karena itu janganlah kamu mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah, padahal kamu mengetahui.
(Al-Baqarah: Ayat 22)

No comments:

Post a Comment