"Kita lahir dengan otak di dalam tengkorak kepala kita. Sehingga tidak peduli semiskin mana pun kita, kita tetap kaya. Kerana tidak akan ada seorang pun yang dapat mencuri otak kita, fikiran kita dan idea kita. Dan apa yang anda fikirkan dalam otak anda jauh lebih berharga daripada emas dan perhiasan."

Wednesday 17 December 2014

KOLEKTIF: REKONSRTUKSI

Kolektif, dalam arti kata lain adalah bermaksud secara bersama-samaperkongsian bersama atau memiliki secara bersama. Setiap segala sesuatu itu dikongsi dan diusahakan bersama-sama. Jadi apakah pentingnya kolektivisme ini kepada sosial? Penting, kerana kolektif ini adalah hasil dan lambang kepada perpaduan sosial, kesatuan jiwa dan suara. Penting, dalam membasmi kemiskinan dan ketidakcukupan kos sara hidup yang sedang bermaharajalela di tanah ini. Juga penting, dalam menaikkan ekonomi sosial yang sekarang ini kelihatan tersangatlah kuat jurangnya antara sang kaya dengan sang miskin.      

            Sang kaya dengan kisahnya bersama katil empuk dan tirai kamarnya bersulam permaidani mewah. Punyai pembantu rumah yang menyediakan sarapan dan menyusun sudu dan garpu mahal buatan Eropah di atas meja sarapan. Jika sudunya itu kelihatan sedikit comot ketika ingin menyuapkan makanan ke dalam mulut, akan mulalah leteran tentang kebersihan yang diutamakan oleh golongan-golongan pembesar. Dan akan berleterlah ia membawa isu harga yang dibayar pekerjanya itu. Lalu dalam sedang ia bersarapan, sebuah kereta mewah yang ditempah khas dari benua Eropah juga sedang menanti di halaman rumahnya yang sebesar padang bola bersama-sama seorang pemandu yang di gajikan untuk membawa dia dan kerabatnya ke mana sahaja. Sesampai saja di perkarangan bangunan milik keluarga, kelihatan pula dua orang berbadan sasa sedang menyambut dan mengiringi tuan yang kaya raya itu masuk ke pejabat. Mungkin risau ditembak atau di samun agaknya. Itu baru kira untuk si dia, belum lagi jumlahnya yang mengiringi anak-anaknya ke sekolah khas yang diduduki oleh pelajar-pelajar elit. Hebat sungguh!

            Namun, sedang sang kaya itu tadi berkerut dahi di dalam pejabatnya sambil menilik posisi peluang untuk menambahkan kekayaan yang sedang bertimbun, di sana di nun hujung kotaraya yang tempatnya kurang mendapat perhatian media melainkan jika ada ahli korporat kapitalis ingin mengambil tanahnya untuk membangunkan negara, atau membuat lebuh raya, barulah tanah yang sepi itu mendapat liputan khas. Tetapi apa kisahnya di sana? Di sana, ada sebuah rumah yang usang, bekalan elektriknya hanya digunakan untuk kipas mudah alih jika ada ahli rumahnya yang kepanasan, bekalan elektrik hanya untuk memecahkan kegelapan di waktu malam, supaya mentol sfera yang agak melonjong itu dapat mencerahkan ruang tamu agar cahaya oren kekuning-kuningan dapat membasmi kadar kegelapan. Di harinya, dalam sang kaya itu tadi mampu untuk menyara hidup keempat-empat pembantunya demi menjaga keperluan dirinya, sang miskin tua itu pula keluar menarik guni yang mungkin berisi besi atau botol plastik agar keperluan dirinya dapat diurusi.

            Lalu apabila sang miskin tua ini berjalan masuk lepas ke dalam pintu gerbang kotaraya, dirinya pula akan dijadikan model untuk golongan pekerja kelas pertengahan agar tidak jadi seperti dia. Mengajuk-ajukan anak-anak mereka supaya bekerja keras, agar tidak jadi seperti sang miskin itu. Dijadikan model, agar pekerja itu tadi dapat merasa bersyukur dengan limpahan kurnia nikmat dari sang Illahi. Namun, dibiarkan saja sang miskin tua itu tadi. Kerana hendak menyara kehidupannya sendiri pun agak sukar, inikan lagi hendak menyara kehidupan orang. Jika ditanya, lalu berkatalah ia “Ada satu golongan yang lebih layak untuk membantu.” Lalu apabila ditanya kepada satu golongan yang layak membantu itu, “Apakah mereka itu tidak reti bekerja?” Mengikut tafsiran aku, inilah yang dikatakan cinta dunia kepada harta. Memetik kata dari sebuah hadis,

Cinta mu pada sesuatu itu membutakan-tulikan dan memekakkan dirimu.

Lalu diperteguhkan bersama firman Allah

Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambaNya tentulah mereka akan melakukan kerosakan di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakinya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hambaNya lagi Maha Melihat.
Ash-Shuraa: ayat 27

            Sesudah melihat betapa jauhnya jurang antara kasta teratas, jika dibandingkan dengan kasta yang terbawah. Jika di suatu kala dahulu, di saat-saat beginilah para-para rasul dan nabi diutuskan untuk menuntut bela hak kaum miskin di atas unsur alami yang dimiliki oleh tuhan ini. Untuk merapatkan kembali jurang antara sang kaya dengan sang miskin, agar permusuhan dan pertelingkahan harta benda dapat di tangani dengan kata sepakat. Dan atas sebab itu para rasul dan nabi diutuskan di mana kebanyakannya berada di dalam status yang rendah, atau golongan bawahan. Yang di mana statusnya agak lemah dan tertindas. Itulah kebenaran di dalam Islam, yang melambangkan Islam itu tidak mengangkat seseorang berdasarkan harta dan penzahiran. Kasta suku kaum. Tetapi Islam itu mengangkat akhlak, secocok dengan istilah dari bahasanya, Agama Islam. Yakni, agama itu dari segi bahasanya membawa maksud kesadaran. Dan Islam itu membawa makna kepada kesejahteraan. Lalu jika diteliti akan istilah Agama Islam  itu akan membawa makna kesadaran akan kesejahteraan. Lihatlah, nabi dan para rasul mana yang membawa kecelakaan? Tiada, melainkan keamanan, kesejahteraan, kecintaan, keredaan, kesederhanaan, ketakwaan, dan kebersamaan.

            Apabila melihat satu percanggahan fahaman teras kolektivisme di kalangan Islam dengan Anarkis, di mana fahaman teologi Islam mengatakan setiap segala sesuatu itu adalah hak milik Allah. Manakala percanggahan yang dibawa Anarkis pula adalah setiap segala sesuatu itu adalah hak milik bersama. Bagaimana? jika dilihat dari segi bahasa, memang benar jauh jurangnya antara Sang Tuhan dengan sang hamba Tuhan. Istilah itu sudah tidak perlu diperbincangkan. Yang perlu adalah praktikalnya. Kita ambil dari sudut Islam dahulu, mengikut kepercayaan Islam, dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara dan segala apa yang ada di dunia ini tidak akan kekal selamanya. Dan segala yang dimiliki di dunia ini hanyalah sebagai sebuah hiasan kepada umat manusia, mengambil dari firman Allah bermaksud,

Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup didunia, dan di sisi Allah lah tempat kembali yang baik (syurga).
(Ali-Imran: ayat 14)
Lalu hiasan yang di turunkan ke muka bumi ini adalah sebagai ujian kepada umat manusia, di jelaskan di dalam al-Quran,
Dan ketahuilah, bahawa hartamu dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cobaan dan sesungguhnya di sisi Allah lah pahala yang besar.
(Al-‘Anfal: ayat 28)
Dan pada firman di atas, cobaan itu adalah merujuk kepada bagaimana umat manusia mengurusi material itu. Bermakna, harta benda itu datang sebagai cobaan dari Yang Maha Berkuasa untuk menguji sejauh manakah keberimanan seseorang itu dalam mentauhidkan Yang Maha Esa dalam hal perihal material. Kerana manusia itu sendiri sifat alaminya mempunyai rasa untuk memiliki dan cinta kepada kebendaan. Islam tidak melarang perkara seperti ini, tetapi akan menjejaskan, apabila kecintaan kepada material itu melebihi kecintaan kepada yang empunya material itu sendiri. Membuat manusia itu akan menjadi lemah dan buta, hilang pertimbangan, kerana menyintai sesuatu yang dijadikan melebihi dari Yang Menjadikan. Tetapi perkara ini sering terjadi di balik kesadaran yang nyata.

            Namun, persoalannya adalah, apakah tuhan itu memerlukan material di bumi? Apakah tuhan itu akan beransur lemah jika material ini makin berkurangan? Sesungguhnya tidak! Jadi, apakah tujuan tuhan itu menyerahkan sementara material kepada untuk umat manusia? Bukankah untuk manusia saling cukup mencukupi dan saling bantu-membantu? Agar tuntutan untuk yang lemah, dapat dipenuhi oleh yang berkemampuan. Untuk manusia saling mengharmoni dan menyejahterakan bumi ini. Jadi bermakna, segala apa yang dimiliki tuhan ini adalah untuk dinikmati bersama-sama. Untuk apa tuhan memiliki material? Kerana tuhan telah sememangnya memiliki keatas setiap sesuaut. Tuhan tidak kan sedikit pun tergugat dengan material, namun tuhanlah yang memiliki setiap material yang dimiliki oleh hambanya. Untuk hambanya saling cukup-mencukupi dan berkasih sayang antara sesama. Sama juga konsepnya “setiap segala sesuatu itu hak milik bersama”. Bermakna di sini, walaupun istilah itu membawa perbezaan perhakmilikan, tetapi esensi dan praktikalnya adalah sama sahaja.

            Tujuan kolektif ini adalah bukan untuk menambahkan lagi golongan-golongan pemalas. Bukan untuk menyanjungi satu budaya pemalas. Tetapi adalah untuk mengangkat mereka-mereka yang tidak mempunyai peluang, untuk menyediakan satu saluran atau satu landasan awal dalam memperbaiki ekonomi masyarakat. Bagi yang pemalas, mereka akan tertinggal di tahap itu juga tanpa ada kemajuan kemana-mana. Dan sememangnya, tiada siapa akan kaya dengan perkongsian, tetapi perkongsian atau kolektif ini sekali lagi ditegaskan adalah sebuah “landasan awal” untuk masyarakat membina hidup. Bukan menyenangkan manusia-manusia pemalas!

Impaknya di sini akan berlaku satu pengelakan dari pencurian untuk menyara hidup. Tiada siapa lagi akan mencuri untuk sesup nasi. Tiada siapa lagi akan merompak demi menyara anak bini. Dan mungkin tiada lagi yang akan di pukul kerana mencuri dua ringgit tabung masjid. Sesudah tiada sesiapa yang mencuri untuk hidup, pencuri yang tinggal hanyalah pencuri-pencuri yang ingin kaya, pencuri-pencuri yang memakan rasuah, pencuri-pencuri yang berambut kemas mamakai kot dan tali leher, pencuri-pencuri yang menekan rakyat, pencuri-pencuri yang mempunyai kondominium dua puluh tingkat. Dan dengan adanya pencuri-pencuri seperti ini lah bermulanya hudud! Hukuman potong tangan sang pencuri, tersangatlah tak bertamadun dan barbaric. Tetapi kita di sini di mana setiap seorang dari masyarakatnya sudah kaya atau sudah mampu menguruskan diri sendiri, hukum potong tangan itu namanya bukan lagi barbaric! Mencuri harta orang miskin, menindas anak yatim, merompak agar ramai lagi yang makin miskin, bukankah lagi tidak bertamadun berbanding potong tangan?

Tapi jangan di mimpi kawan-kawan, musuh kita tetap ingin meraikan, melihat kaum miskin bertambah miskin.

No comments:

Post a Comment